Hantu Jam 12 Malam

 


Tepat pukul 12 tengah malam, aku mula gelisah. Bukan disebabkan cuaca yang panas tetapi kerana aku sahaja yang masih belum masuk tidur. Keadaan cuaca di kampung amat menyeramkan tambahan pula dengan cuaca yang sangat sejuk. Bunyi cengkerik dan katak di luar semakin kuat dan berlawan sesama sendiri. Di dalam rumah kampung yang usang, keluarga aku tidur di dalam satu bilik tetapi pintu dibuka supaya cahaya lampu di ruang tamu dapat menyinari bilik yang gelap.

Sedang aku cuba untuk lelapkan mata, aku terdengar bunyi yang sangat menakutkan iaitu bunyi jam loceng milik nenek aku. Lagu yang dimainkan oleh jam itu sangat bingit dan menyeramkan. Kepala aku mula berpusing dan terfikir kenapa jam ini berbunyi pada pukul 12 malam dan bukan pada waktu Subuh? Mustahil nenek aku yang sudah tua itu akan bangun pada waktu begini dan melakukan kerja-kerja rumah. Bunyi cengkerik juga sudah berhenti dan senyap sunyi tidak seperti malam sebelum ini.

Ikutkan hati, mahu sahaja aku kejutkan ayah yang sedang nyenyak tidur dan dibuai mimpi. Sikit pun dia tidak bergerak dari katil dan begitu jugalah ahli keluarga yang lain.

"Ahh sudah! Tak kan aku sorang je yang sedar ni? Menyusahkan betul lah nak kena tutup jam loceng!"

Aku mula tarik selimut untuk bangun dan cari jam tersebut. Tetapi niat aku terbatal dan air mata mula menitis di pipi kerana aku mula terdengar suara lain yang seiring dengan lagu jam loceng itu. Setelah aku amati bunyi tersebut, rupa-rupanya ia adalah gelak tawa makcik aku yang sangat kuat dan gembira.

"Apa yang kelakar sangat?" aku mula keliru.

Semakin lama suara tersebut semakin kuat ditambah dengan bunyi mengilai yang mendayu-dayu.

"Ahh sudah! Ini bukan makcik tapi lembaga yang berpura-pura menjadi manusia."

Aku mula risau kerana pintu bilik tidak ditutup. Risau sekiranya 'makcik' tersebut mengintai di balik pintu dan menegur aku. Tangan mula menggerakkan ayah supaya segera bangun dan lihat keadaan di ruang tamu. Belum sempat aku mengejutkan ayah, aku terdengar satu lagi suara tertawa terbahak-bahak. Aku amat kenal dengan suara tersebut kerana suara itu adalah milik ayah. Aku pusing dan terus melihat ayah. Sah! Dia memang tengah nyenyak tidur dan tidak ketawa langsung.

Suara gelak tawa 'ayah' bersama 'makcik' ibarat mengejek aku yang sedang dalam ketakutan dan bertambah kuat apabila aku gagal mengejutkan ahli keluarga. Jam loceng pula tidak mahu kalah dan berbunyi tanpa henti ibarat berlawan-lawan bersama gelak tawa tersebut.

Aku hanya mampu berlindung di sebalik selimut supaya hantu tersebut tidak masuk ke dalam bilik dan menarik selimut aku. Bukannya aku tidak mahu berdoa tetapi doa apa yang aku mahu baca? Habis semua doa yang aku hafal hilang begitu sahaja hinggakan doa makan pun aku boleh terlupa. Yang pasti aku terus tertidur selepas menangis seorang diri di dalam selimut. 

Esok pagi aku bertanya kepada ayah.

"Ayah tak dengar apa-apa ke semalam? Bising tau bunyi jam."

"Jam itu kan dah rosak semalam. Rasa-rasanya bateri dah habis nanti ayah gantikan dengan bateri baru."

Rosak?

Habis tu, bunyi apa yang aku dengar semalam?


Post a Comment

Previous Post Next Post